Khamis, 3 Mei 2012

CABARAN DALAM MEMBUDAYAKAN TEKNOLOGI DI DALAM BIDANG PENDIDIKAN


Penggunaan teknologi pada masa kini dianggap sebagai suatu kemestian dalam memudahkan sistem pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan komputer dalam pendidikan sudah tentu akan melibatkan pengintegrasian teknologi seperti CD-ROM, pangkalan data, multimedia dan internet. Perubahan pendidikan melalui revolusi teknologi maklumat sudah tentu memberi cabaran kepada kredibiliti kaum guru. Guru tidak lagi menjadi satu faktor yang penting sebagai penyampai atau pemberi ilmu pengetahuan.
Peranan guru akan berubah daripada pengajar dan pendidik kepada pemudah cara, tutor, perancang dan penilai pembelajaran murid. Perkembangan ICT yang pesat juga turut menyaksikan guru bukan hanya akan didapati di sekolah, malah pelajar akan mempunyai lebih ramai "guru" menerusi pembelajaran menggunakan internet. Di sini letaknya menjadi peranan guru dan institusi sekolah dalam mengadakan kawalan dalaman dan kawalan luaran. Perubahan peranan guru memerlukan guru-guru dilatih dan didedahkan dengan kemahiran baru supaya mereka tahu mengendalikan dan menggunakan teknologi maklumat dengan berkesan di sekolah.
Kekurangan infrastruktur sekolah juga merupakan salah satu masalah dalam membudayakan penggunaan internet dalam kalangan pelajar. Permasalahan ini dapat dilihat apabila terdapat Sekolah yang masih tidak mempunyai bekalan elektrik hingga menjejaskan pembekalan kemudahan ICT dalam pengurusan dan pentadbiran serta P & P.  Kebanyakan sekolah rendah hanya dibekalkan dengan elektrik satu fasa.  Untuk kegunaan makmal komputer, bekalan elektrik perlu dinaik taraf kepada tiga fasa. Selain itu, hanya terdapat beberapa komputer sahaja dalam sesebuah makmal komputer di sekolah. Jumlah komputer yang sedikit ini tidak mampu menampung jumlah pelajar dalam sesebuah sekolah.
Pendedahan pelajar luar bandar kepada penggunaan internet ini mampu mendedahkan mereka dengan pelbagai maklumat yang berguna. Para pelajar dapat menambah ilmu pengetahuan serta tidak ketinggalan berkenaan isu-isu semasa. Namun, kegagalan dalam mengawal  penggunaan internet ini juga mampu mendedahkan mereka dengan perkara-perkara negatif yang memberi kesan kepada moral dan tingkah laku mereka.

Secara keseluruhannya, kemajuan teknologi maklumat di Malaysia telah mengalami perkembangan yang positif. Bagaimanapun, terdapat beberapa isu berkaitan dengan penggunaan teknologi maklumat ini iaitu masalah etika penggunaan teknologi maklumat. Menguatkuasakan undang-undang semata-mata bukan penyelesaiannya. Apa yang lebih penting ialah kesedaran setiap individu terhadap tanggungjawab menguruskan alam ini dengan penuh bijaksana dan berhemah. Bidang pendidikan didapati terlibat secara langsung dalam menanamkan kesedaran ini di samping sokongan daripada pihak-pihak berwajib yang lain.

Saranan.
1.      Peruntukan dari Kerajaan
Untuk mengatasi masalah kurang kelengkapan dan peralatan komputer di sekolah-sekolah dan institusi pengajian, pihak kerajaan perlu campur tangan dengan memberikan peruntukan yang secukupnya untuk membolehkan sekolah terbabit dilengkapi dengan kemudahan dan kelengkapan yang mencukupi untuk semua pelajar.
2.      Mempertingkatkan latihan kepada guru.
Ini adalah untuk menyediakan guru yang berkemahiran serta bersedia menghadapi perkembangan teknologi maklumat yang terkini. Sekiranya semua guru berkemahiran maka sudah pasti sistem pembelajaran di sekolah akan lebih menarik dan berkesan.  Pihak sekolah perlu mengambil inisiatif memajukan profesion perguruan dalam konteks penggunaan ICT dalam pendidikan agar guru-guru yang berkhidmat di sekolah dapat menerima pembaharuan dan kemajuan dalam kerjaya profesion perguruan.
3.      Didikan awal
Didikan awal dan penerapan nilai-nilai murni adalah penting untuk melahirkan generasi bermaklumat yang bermoral. Sekiranya didikan nilai-nilai murni telah ditanam di jiwa pelajar-pelajar, tidak akan berlaku kesalahan atau jenayah komputer yang membimbangkan generasi akan datang.
4.      Jurang ICT dan Digital
Penggunaan komputer perlu dipergiatkan dan diperluaskan terutamanya di kawasan sekolah luar bandar. Perluasan penggunaan ini bertujuan memastikan lebih ramai pelajar mendapat faedah dari kemajuan ICT ini. Oleh itu. Usaha perlu dipergiatkan untuk menyediakan kemudahan komputer serta kaedah pengajaran dan pembelajaran berteraskan komputer terutamanya sekolah-sekolah di luar bandar.
5.      Membudayakan Masyarakat
Masyarakat perlu dibudayakan dengan pendedahan kepada teknologi komputer. Inisiatif ini perlu diambil oleh setiap individu itu sendiri. Setiap individu hendaklah cuba mempertingkatkan diri mereka dengan kemahiran-kemahiran terkini. Malah membudayakan masyarakat dengan literasi komputer akan menjadi lebih mudah sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing dan kerjasama yang serius.


5 ulasan:

NURMASTURA NORDIN berkata...

Pada pendapat saya, sememangnya amatlah perlu kita membudayakan teknologi dalam pendidikan kerana kita hendaklah seiring dengan dunia yang semakin mencabar. Pendidikan perlulah sentiasa diberi nafas baru agar ia tidak ketinggalan jauh dan dapat menjadikan proses pembelajaran lebih bercorak interaktif sekaligus dapat menambahkan ilmu pengetahuan dalam diri pelajar.

NURMASTURA BINTI NORDIN A133408

Hamizal berkata...

Saya tertarik dengan saranan yang kelima iaitu membudayakan masyarakat. persoalannya apakah cara yang telah dan dirancang akan dilaksanakan demi membudayakan masyarakat sedangkan kita semua tahu bahawa bukannya mudah untuk membentuk sahsiah individu, melainkan diri mereka sendiri.

alifwahab berkata...

Saranan yang saudara ridzlan nyatakan adalah amat baik.Namun begitu bagaimana kelima-lima saranan itu boleh dilaksanakan.Memang betul kerajaan perlu memberi peruntukan kepada sekolah untuk mendapatkan kelengkapan kemudahan prasarana untuk membangunkan bidang teknologi di sekolah,tetapi kerjasama daripada pihak sekolah juga amat penting. Sebagai contoh, sekolah agama rakyat kebanyakannya masih lagi tidak menggunakan teknologi dalam p&p-nya. Malahan insfrastrukturnya juga tidak lengkap seperti keadaan sekolah yang uzur. Begitu juga dalam saranan yang kedua, kerenah-kerenah birokrasi yang berlaku dalam kalangan guru-guru menyukarkan untuk melatih mereka untuk mahir dalam penggunaan teknologi. Didikan awal dan membudayakan masyarakat,seperti kita tahu bukannya mudah untuk membentuk sahsiah diri individu itu.Namun begitu, saya berharap saranan yang diutarakan oleh saudara ridzlan dapat dilaksanakan dan berharap agar semua pihak mengambil tanggungjawab masing-masing supaya budaya berteknologi dalam bidang pendidikan dapat dilaksanakan.InsyaAllah..

MOHD ALIFF BIN ABDUL WAHAB
A128371

muhd hilmi bin mahfol berkata...

Seharusnya guru-guru perlu lebih peka dengan penggunaan ICT dalam sesi pengajaran dan pembelajaran dan menggunakan teknologi ICT ini semaksima mungkin dalam mengoptimumkan capaian pelajar ke arah kecermerlangan.

MUHD HILMI BIN MAHFOL A128153

Hana Jay berkata...

Hai.
Budaya teknologi dalam bidang pendidikan sememangnya amat penting. Malah, kini tanpa teknologi, banyak perkara-perkara yang mudah akan menjadi sukar untuk dilakukan. Jika dilihat, teknologi dan pendidikan telah mula diterapkan seawal usia sekolah rendah lagi. Jadi, ini adalah bukti bahawa budaya teknologi dalam pendidikan telah mula diterapkan sedari kecil supaya ia tidak menjadi sesuatu yang asing bagi pelajar berkenaan isu teknologi ini. Dengan cara ini juga, anak-anak tidak akan ketinggalan mahupun buta IT. Selain itu, mereka juga dipercayai akan mampu menjadi individu yang lebih cemerlang dengan penggunaan peralatan berunsurkan teknologi ini dalam pembelajaran mereka. Contohnya, mendapatkan info-info serta bahan daripada internet. Sekian.

(^^,)")

nurul farhana jalani
a128600
farrahannaj_89@yahoo.com